Latar Belakang Sekolah
Sekolah Menengah Kebangsaan LKTP Belitong terletak di gugusan Felda Ulu Belitong, kira-kira 25 km dari bandar Kluang menghala ke Kota Tinggi. Ia terletak di satu tapak di lereng bukit yang dikelilingi oleh kawasan kediaman berpusat, pejabat pentadbiran FELDA,
masjid dan CBD (Central Business District) kawasan ini. Keluasan kawasan sekolah ini ialah 15.9 ekar.
 
Sekolah ini ditubuhkan pada 1 Disember 1994. Sebelum ini pelajar-pelajar kawasan ini terpaksa bersekolah di SM Bandar Tenggara Kulai, yang jaraknya kira-kira 30 km dari kawasan ini.
 
Ketika awal penubuhannya, sekolah ini hanya menampung 8 buah kelas tingkatan 1 dengan pelajar seramai 270 orang. Pada bulan berikutnya, 5 buah kelas lagi dibuka untuk menampung 210 orang pelajar dari kawasan ini yang didatangkan dari SM Bandar Tenggara.
Pada awal tahun 1996, seramai 110 orang lagi diterima dari SM Bandar Tenggara untuk ditempatkan di dalam tingkatan 4, selain daripada 300 orang pelajar baru tingkatan 1 dari SK Ulu Penggeli dan SK Ulu Belitong. Pada 31 Januari 1996, jumlah pelajar  ialah seramai
905 orang dengan 42 orang guru. Pada akhir tahun 1997 jumlah pelajar meningkat kepada
1320 orang dengan guru seramai 57 orang.Dan, pada 1 Oktober 1998, jumlah pelajar meningkat kepada 1423 orang dengan 71 orang guru.
 
Sebahagian besar pelajar datangnya dari tiga kawasan felda terbesar di kawasan ini, iaitu Felda Ulu Penggeli yang terletak kira-kira 4 km dari sekolah. Dua felda lagi, iaitu Felda Ulu Belitong dan Felda Bukit Tongkat terletak di sekitar kawasan sekolah. Selain daripada itu, pelajar-pelajar juga datang dari kawasan Growth Pole baru di kawasan pembangunan Johor Tenggara ini iaitu T6 atau Tenggara Enam juga dikenali sebagai Bandar Gunung Lambak. Selain itu, anak-anak pekerja beberapa buah ladang kepunyaan agensi kerajaan di sekitar kawasan ini juga bersekolah di sekolah ini.
 
 

 Laman Utama | Prakata | Falsafah | Objektif | Kemudahan | Kurikulum | Kokurikulum | Pelajar | Kakitangan | Takwim | Lagu Sekolah | Links